(Hopefully aku dapat pegi nengok at least one show. Kalo ada tiket la.)
SEARCH (dari kiri) Nasir, Hillary, Amy dan Edrie selepas sidang akhbar pengumuman konsert mereka di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya petang kelmarin.
Search kesal konsert tiada penaja
Oleh: ABD. AZIZ ITAR
BIARPUN sudah 25 tahun ditubuhkan tetapi karisma Search sebagai sebuah kumpulan rock legenda di persada muzik rock tanah air masih belum mendapat perhatian daripada pihak penaja.
Hakikat itu dapat dilihat apabila tidak ada satupun syarikat yang sanggup menaja Konsert Search dan Slank (S2 Celebration Concert) yang akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 Januari dan Stadium Larkin, Johor Bahru pada 7 Januari depan.
Vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy kesal apabila kemampuan mereka selama ini dipandang sepi oleh pihak penaja terutamanya daripada kalangan syarikat korporat dan telekomunikasi tempatan.
“Mungkin mereka (penaja) ini buta ataupun pekak dan tidak pernah membuat sebarang penyelidikan tentang pencapaian Search sebelum ini.
“Dua tahun lepas Search pernah buat konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan disaksikan hampir 40,000 penonton.
“Jumlah itu lebih ramai daripada penonton konsert kumpulan Linkin Park (dari Amerika Syarikat) yang juga pernah diadakan di situ,” kata Amy pada sidang akhbar pengumuman konsert sempena ulang tahun ke-25 Search di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor petang kelmarin.
Konsert anjuran Tiga Events Sdn. Bhd., itu mendapat kerjasama daripada Biro Membasmi Dadah Umno Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Ozone Events Sdn. Bhd.
Konsert Search dan Slank itu juga diadakan sempena Karnival Rasa Sayang 2007 anjuran Biro Membasmi Dadah Umno yang diadakan di dua stadium tersebut.
Menurut Amy, ekoran ketiadaan penaja, konsert terbesar Search yang khabarnya menelan kos sekitar RM500,000 dan dirancang sejak enam bulan lalu itu pernah ditunda sebanyak dua kali.
“Bagi saya, ini adalah masa yang sesuai untuk menyalahkan pihak-pihak penaja. Hakikatnya nama Search sahaja yang besar tetapi kami tidak dapat apa-apa pun.
“Sedangkan artis-artis dari luar pernah diberi peluang (mendapat tajaan) dua tiga kali mengadakan konsert di negara kita.
“Saya tidak menyalahkan artis-artis luar tetapi kalau macam ini macam mana artis tempatan hendak maju?” soalnya dalam nada geram.
Konsert Search bersama kumpulan rock Slank dari Indonesia itu sepatutnya diadakan pada 27 Ogos lalu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan 20 Ogos di Stadium Larkin, Johor Bahru, Johor.
Tetapi kemudian ditunda pada 10 November di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan 12 November pula di Stadium Larkin.
Sayangnya tarikh tundaan kedua itu juga tidak dapat dipenuhi. Kini, pihak penaja, Tiga Events Sdn. Bhd., menetapkan tarikh terbaru konsert tersebut ialah pada 5 Januari depan di Stadium Merdeka, manakala 7 Januari pula di Stadium Larkin.
Jelas Amy, meskipun pernah ditunda beberapa kali tetapi ia tidak pernah melemahkan semangat Search untuk mengadakan konsert yang akan dirakamkan dalam bentuk cakera padat video (VCD) itu.
“Ini adalah impian Search yang telah berputik sejak awal penubuhan kami lagi. Konsert ini adalah sejarah dalam industri muzik tempatan.
“Setakat ini, tidak ada lagi artis tempatan yang sambut macam ini (mengadakan konsert ulang tahun). Bagi saya, muzik juga satu medium untuk keamanan dan ia sesuai dengan Karnival Rasa Sayang 2007 yang juga diadakan pada tarikh tersebut,” ujar Amy lagi.
Difahamkan setakat ini sebanyak 15,000 tiket sudahpun ditempah untuk menyaksikan konsert di Kuala Lumpur, manakala 20,000 tiket lagi untuk konsert di Johor Bahru.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert di Stadium Merdeka berharga RM82 dan RM47, manakala tiket-tiket di Stadium Larkin pula berharga RM37 dan RM22.
(aku ambik dari Utusan Malaysia 15/12/06)
2 comments:
aku pun nak pergi.. tgh carik tiket.
member aku belum reply boleh dapat masuk backstage ker tak... huh
tiket dia ni kali ada confusing sikit la, kena pakai axcess nye ticketing system gitu
Post a Comment